Pasti anda semua masih mengingati kisah perkelahian antara dua orang sahabat iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. Kedua-dua mereka cuba menegakkan keadilan walaupun dalam situasi yang berlainan. Siapakah sebenarnya yang bersalah dalam situasi ini? Salah Hang Jebatkah kerana ingin menuntut bela atas kematian sahabatnya? Atau mungkin kerana sikap Hang Tuah yang terlalu mentaati perintah Sultan. Pasti setiap orang mempunyai jawapan tersendiri berkaitan persoalan ini.
Hang Tuah selaku pembesar pasti mempunyai alasan kukuh atas tindakan beliau membunuh sahabat sendiri. Walaupun pernah dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan, namun semua itu tidak pernah menjadi nanah untuk beliau membalas dendam. Sikap taat setia yang telah berakar umbi dalam dirinya tidak mampu digoyahkan lagi. Prinsip Hang Tuah cuma satu, pantang anak Melayu menderhaka, maka perintah Sultan itu wajib ditaati walaupun nyawa jadi taruhannya. Keadaan ini ditambah pula dengan lingkaran masyarakat pada waktu itu yang amat menghormati dan menyanjungi institusi beraja. Adanya konsep daulat dan tulah secara tidak langsung telah memperkukuhkan lagi kuasa Sultan.
Berbeza pula dengan Hang Jebat. Beliau sanggup menderhaka semata-mata menuntut keadilan. Semangat persahabatan yang tinggi menjadikan Hang Jebat tidak gentar untuk menyaingi Sultan, walhal beliau tahu harga yang perlu atas perbuatannya itu. Bagi Hang Jebat, Sultan yang zalim patut dihapuskan. Mungkin kerana tulah itulah akhirnya Hang Jebat mati di tangan sahabat sendiri.
Dalam situasi ini siapakah yang bersalah? Hang Tuah tidak bersalah kerana beliau hanyalah mengikut titah Sultan sebagai lambang kesetiaan dan ketaatannya. Hang Jebat juga tidak bersalah kerana niatnya adalah untuk menegakkan keadilan. Cuma situasi dan keadaan yang menjadikannya bersalah. Jadi siapa yang bersalah? Siapa sebenarnya wira alam Melayu?


No comments:
Post a Comment