Monday, September 14, 2009

KATA KERJA

Kata kerja terbahagi kepada :
A. Kata Kerja Transitif
B. Kata Kerja Tak Transitif

A. KATA KERJA TRANSITIF
1. Kata Kerja Transitf ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada benda lain.

2. Kata kerja ini biasanya mempunyai imbuhan ‘me-‘ sama ada sebagai awalan atau sebahagian daripada imbuhan. Contohnya mengambil, mendermakan, membacakan, menduduki, mempersilakan.

3. Kata kerja transitif mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama.

4. Kata kerja transitif menggunakan imbuhan men, men ...i, men ...kan, memper, memper...i, dan memper...kan.

Contoh ayat :
1. Adik mengayuh basikal.
2. Ahmad memukul ular.
3. Bapa menulis surat.

Dalam ayat pertama, Adik ialah pelaku, mengayuh ialah kata kerja transitif dan basikal ialah objek atau penyambut.

Dalam ayat kedua, Ahmad ialah pelaku, memukul ialah kata kerja transitif dan ular ialah objek atau penyambut.

Dalam ayat ketiga pula, Bapa ialah pelaku, menulis ialah kata kerja transitif dan surat ialah objek atau penyambut.

B. KATA KERJA TAK TRANSITIF

1. Kata kerja tak transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuat itu sendiri kepada diri pembuat itu sendiri, tidak kepada benda atau orang lain. Oleh itu ia tidak mempunyai penyambut.

2. Kata kerja tak trnasitif ialah kata kerja yang dapat berdiri sendiri dalam ayat, iaitu idak memerlukan objek sebagai penyambut.

Contohnya :
1. Dia berdiri.
2. Anjing itu sedang tidur.
3. Irfan sedang bekerja.

Dalam ayat pertama Dia melakukan berdiri, tidak kepada benda lain.

Dalam ayat kedua Anjing melakukan tidur, tidak kepada benda lain.

Dalam ayat ketiga Irfan melakukan bekerja, tidak kepada benda lain.

Saturday, August 29, 2009

Sukatan Pelajaran & Huraian Sukatan Pelajaran

Dapatkan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran bagi kesemua mata pelajaran yang ditawarkan sama ada pada peringkat KBSR atau KBSM.

http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66

Tuesday, August 25, 2009

Cinta Ilahi

Bersendirian di kamar hati,
Mencari cinta Ilahi,
Tak semudah yang difikiri,
Menempuh onak duri.

Kadang terfikir sendiri,
Mengapa harus begini,
Bukankah semua telah ditetapi,
Dalam menjalani hari.

Taati ibu bapa itu pasti,
Hormati orang tua itu mesti,
Ilmu dituntut bekalan diri,
Buat pedoman jauhi keji.

Bukan sengaja kuhalangi diri,
Sekadar perisai...janji tak pasti,
Maruah diri tak boleh dijual beli,
Itulah harga cerminan diri.

Wahai hati,
Tabahkan diri,
Menjalani hari,
Menempuh ranjau berduri,
Kernaku pasti,
Janji-Mu Ilahi.

Saturday, August 22, 2009

Pertembungan Budaya antara Hang Tuah dan Hang Jebat...Siapa Wira??

Pasti anda semua masih mengingati kisah perkelahian antara dua orang sahabat iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. Kedua-dua mereka cuba menegakkan keadilan walaupun dalam situasi yang berlainan. Siapakah sebenarnya yang bersalah dalam situasi ini? Salah Hang Jebatkah kerana ingin menuntut bela atas kematian sahabatnya? Atau mungkin kerana sikap Hang Tuah yang terlalu mentaati perintah Sultan. Pasti setiap orang mempunyai jawapan tersendiri berkaitan persoalan ini.

Hang Tuah selaku pembesar pasti mempunyai alasan kukuh atas tindakan beliau membunuh sahabat sendiri. Walaupun pernah dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan, namun semua itu tidak pernah menjadi nanah untuk beliau membalas dendam. Sikap taat setia yang telah berakar umbi dalam dirinya tidak mampu digoyahkan lagi. Prinsip Hang Tuah cuma satu, pantang anak Melayu menderhaka, maka perintah Sultan itu wajib ditaati walaupun nyawa jadi taruhannya. Keadaan ini ditambah pula dengan lingkaran masyarakat pada waktu itu yang amat menghormati dan menyanjungi institusi beraja. Adanya konsep daulat dan tulah secara tidak langsung telah memperkukuhkan lagi kuasa Sultan.

Berbeza pula dengan Hang Jebat. Beliau sanggup menderhaka semata-mata menuntut keadilan. Semangat persahabatan yang tinggi menjadikan Hang Jebat tidak gentar untuk menyaingi Sultan, walhal beliau tahu harga yang perlu atas perbuatannya itu. Bagi Hang Jebat, Sultan yang zalim patut dihapuskan. Mungkin kerana tulah itulah akhirnya Hang Jebat mati di tangan sahabat sendiri.

Dalam situasi ini siapakah yang bersalah? Hang Tuah tidak bersalah kerana beliau hanyalah mengikut titah Sultan sebagai lambang kesetiaan dan ketaatannya. Hang Jebat juga tidak bersalah kerana niatnya adalah untuk menegakkan keadilan. Cuma situasi dan keadaan yang menjadikannya bersalah. Jadi siapa yang bersalah? Siapa sebenarnya wira alam Melayu?

Friday, August 21, 2009

Za'ba Bapa Persuratan Melayu

Pendeta Za’ba merupakan tokoh bahasa, penterjemah, guru dan penulis yang terlalu banyak menabur bakti kepada anak bangsa melalui kerja-kerja penulisan, pendidikan serta aktiviti persatuan yang dijalankan. Beliau dilahirkan di Negeri Sembilan pada tahun 1895. Memandangkan sumbangannya terhadap bahasa dan persuratan, pada tahun 1956, beliau telah dianugerahkan oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga gelaran Pendeta Bahasa yang bermaksud ilmuan bahasa yang ulung.Pada tahun 1973, beliau mendapat anugerah Ijazah Doktor Persuratan Kehormat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau telah meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun.


Sumbangan beliau terhadap perkembangan bahasa Melayu memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Keinginannya untuk menghasilkan sebuah buku nahu Melayu telah muncul sejak beliau berusia 12 tahun lagi. Oleh itu, sejak tahun 1918, iaitu ketika beliau bertugas sebagai guru Bahasa Melayu di Malay College Kuala Kangsar beliau telah mula mengumpul senarai perkataan bahasa Melayu. Pada 1924 pula, beliau telah menjemput beberapa orang Melayu daripada kalangan pegawai kerajaan yang berpendidikan Inggeris datang ke Kuala Lumpur. Jemputan itu bertujuan untuk menubuhkan ' pan-Malayan Malay Literary Society' yang bermatlamat untuk menyatukan sistem ejaan Melayu serta memperkembangkan kesusasteraan Melayu.


Ketokohan Za'ba bukan sahaja menyerlah dalam bidang bahasa dan sastera malah dalam bidang politik dan agama. Beliau yang bersifat radikal bukan sahaja berani mengutarakan idea-idea baharu dalam masyarakat Melayu malah dengan berani telah menulis tentang kelemahan masyarakat Melayu dan cara memperbaiki kelemahan tersebut. Antara karyanya yang termasyur ialah ''Pelita Bahasa Melayu Penggal I-III, Ilmu Mengarang Melayu, Asuhan Budi Menerusi Islam dan sebagainya. Beliau juga telah menterjemah karya Mark Twain, The Prince and The Pauper (Anak Raja dengan Anak Papa) dan karya Shakespeare, Cerita-cerita Suka Shakespeare. Selain itu, beliau juga turut menghasilkan beratus-ratus makalah dalam majalah dan akhbar tempatan.


Za'ba amat menitikberatkan kefahaman terhadap kedua-dua aspek kehidupan iaitu di dunia dan akhirat. Keadaan ini dapat dilihat berdasarkan kepelbagaian karya yang dihasilkan olehnya. Kehilangan beliau merupakan satu kehilangan besar dalam dunia persuratan Melayu.